Kuala Lumpur, 21 Oktober 2020 – Berikutan kejayaan kempen permulaan hafazan al-Quran ‘Mini Little Huffaz’, siri animasi kartun islamik ‘Omar & Hana’ kembali dengan ‘Little Huffaz’, pertandingan hafazan Al-Quran melalui platform digital yang pertama kali diadakan untuk kanak-kanak. Little Huffaz bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak di seluruh dunia menghafal Al-Quran serta menanam rasa cinta terhadap ayat suci Al-Quran.
Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori
umur, iaitu 3 dan 4 tahun dan 5 hingga 8 tahun. Setiap peserta
dikehendaki memilih surah mengikut senarai kategori umur mereka, dan kemudian memuatnaik
rakaman video hafazan melalui laman web rasmi Little Huffaz atau laman media
sosial.
Peserta akan dinilai oleh barisan juri antarabangsa
termasuklah Mufti Ismail Menk, Ustaz Yusuf Mansur, Ustaz Don Daniyal, Qari
Youssef Edghouch, Furqan Fawwaz dan
Mimi Jamilah. Penilaian setiap penyertaan akan berdasarkan hafalan,
kefasihan, tajwid, dan kreativiti.
Hadiah kemenangan bagi pertandingan ini merupakan
wang tunai bernilai USD500 dan piala untuk tempat pertama, USD350 untuk tempat kedua, USD250 untuk tempat ketiga, USD150 untuk tempat keempat dan
akhirnya USD100 untuk tempat kelima.
Setiap pemenang juga akan menerima barangan
eksklusif Omar & Hana serta e-sijil.
Pendaftaran untuk pertandingan Little Huffaz ini
dibuka dari 19 Oktober sehingga 6 November 2020. Untuk mendaftar, calon yang
berkelayakan boleh melayari ohittlehuffaz.com dan terus ke
halaman 'Cara Menyertai' untuk menghantar penyertaan.
Terdapat lima peringkat bagi pertandingan ini,
iaitu:
- Peringkat 1: Peserta menghantar video
hafalan
- Peringkat 2: Pemilihan 40 peserta
terbaik
- Peringkat 3: Pemilihan 20 peserta
terbaik
- Peringkat 4: Pemilihan 5 peserta Terbaik
- Peringkat 5: Penilaian secara langsung
di peringkat akhir
Sebelum ini, ‘Mini Little Huffaz’, yang diadakan
pada 3 September hingga 26 September, telah mendapat sambutan yang menggalakkan
iaitu sebanyak 260 penyertaan dari 17 negara yang berbeza termasuk Malaysia,
Indonesia dan United Kingdom.
Ikuti laman media sosial rasmi, langgan ke saluran YouTube
‘Omar & Hana’ atau layari laman web ohittlehuffaz.com untuk
maklumat lanjut.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan