KAJANG: Berikutan rentetan kisah perpindahan tapak niaga pasar pagi yang berada di Sungai Long, Kini muncul konflik baru yang menyebabkan Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bandar Sungai Long telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sungai Long terhadap Ahli Majlis, Khoo Kim Han berikutan wujudnya persatuan baru iaitu Pertubuhan Penjaja dan Peniaga Kecil Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long di Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long.
Sebelum ini, isu tapak Pasar Pagi Sungai Long telah tular berikutan isu perpindahan tapak yang diarahkan oleh pihak Majlis Pembandaran Kajang dan seterusnya bersetuju untuk membenarkan Pasar Pagi Sungai Long beroperasi di tapak lama seperti biasa sehingga pasar tapak kekal siap dibina. Usaha ini akan mengambil masa dianggarkan selama 2 tahun setengah iaitu dijangka siap pada pertengahan 2023. Persatuan yang sudah lama bernaung di bawah pentadbiran Pasar Pagi Sungai Long iaitu Persatuan Peniaga- Peniaga Kecil Bandar Sungai Long telah lama wujud dan berdaftar dibawah Akta Pertubuhan 1966 dan telah didaftarkan pada tarikh 27 haribulan Julai 2009.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bandar Sungai Long, Fanny Lim berkata, dengan adanya persatuan baru ini akan menyebabkan konflik pada masa akan datang jika tapak kekal disiapkan.
"Persatuan kami sudah lama wujud, namun setelah kejadian berikut, muncul satu ahli jawatankuasa persatuan baru iaitu Pertubuhan Penjaja dan Peniaga Kecil Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long. Kenapa perlu wujudnya dua persatuan jika peniaga adalah dari tempat yang sama? Jawatankuasa baru juga adalah peniaga-peniaga asal di tapak Pasar Pagi Sungai Long yang berpindah Laman Niaga Komuniti Sungai Long. Selain, tiada perbincangan diadakan di antara kami, ini akan menyebabkan muncul konflik pada masa akan datang,"ujarnya.
"Seperti semua tahu, kita sudah lama mempertahan tapak tersebut, tidak patut ada persatuan baru diwujudkan tanpa pengetahuan kami, ini akan menyebabkan huru-hara dan berpuak-puak. Tindakan pemimpin tersebut akan menyebabkan peniaga-peniaga berpecah belah kerana agenda politik. Kami membantah persatuan baru ini diwujudkan dan diharap dapat dibubarkan supaya dapat kekalkan satu persatuan sahaja demi keamanan semua pihak,"tambahnya.
"Selain memohon agar pihak berkuasa dapat mengalihkan batu konkrit yang diletakkan di tapak pasar pagi Sungai Long dengan alasan ingin menaik taraf semula jalan namun sehingga sekarang masih tidak lagi memulakan projek naik taraf tersebut,"tambahnya lagi.
Peniaga Pasar Pagi Sungai Long, Pemilik Healthy Treats Popiah, Gibson Culas berkata, penambahan lesen kepada peniaga-peniaga baru di Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long akan menyebabkan konflik akan berlaku pada masa akan datang.
"Kita tahu pihak berkuasa akan memberikan lesen kepada peniaga-peniaga baru di tapak kekal, Laman Komuniti Sungai Long, tempat baru tidak cukup untuk menampung kesemua peniaga-peniaga asal di Pasar Pagi Sungai Long, jika sebelum ini persatuan kami yang menguruskan dan kita boleh aturkan peniaga-peniaga lama, persatuan baru tiada rekod, ini mungkin akan menimbulkan pergaduhan. Malah lebih baik satu sahaja persatuan yang sudah lama dalam menganjurkan pasar pagi disini,"ujarnya.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, mempertikaikan dan menyelar pihak berkuasa kerana menubuhkan persatuan baru di kawasan pasar tersebut.
"Campurtangan politik telah menyusahkan banyak pihak terutamanya kepada peniaga, saya harap pihak polis dapat siasat, dimana ada empat pemimpin politik DAP, Khoo Kim Han, Chan Boon Hock, Kwan Say Hong dan Hoh Mun Onn telah menyusahkan peniaga di Sungai Long kerana mewujudkan persatuan baru. Apa tujuan pertubuhan ini diwujudkan? Adakah ingin menjadi penganjur untuk kutip duit? Selain ingin membuat aduan kepada Datuk Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) menyiasat jika ada sesuatu atau dalang yang berlaku,"katanya pada sidang media hari ini.
"Selain menyoalkan kehadiran batu- batu konkrit di tapak asal Pasar Pagi Sungai Long yang telah menyebabkan kerugian terhadap peniaga-peniaga di pasar Sungai Long, apa tujuan batu ini diletakkan? Mohon siasat dan jangan menyebabkan perselisihan diantara peniaga-peniaga dengan menggunakan kuasa politik untuk menekan peniaga-peniaga di sini,"tegas Presiden IKHLAS tersebut.
Pasar Pagi Sungai Long adalah sebuah pasar tempatan yang terletak di Bandar Sungai Long, Cheras. Menjual barangan pasar komuniti seperti daging mentah, makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan yang mempunyai seramai lebih 100 peniaga yang telah beroperasi selama lebih 20 tahun. -UTVMediaMalaysia





Tiada ulasan:
Catat Ulasan